70 Dosa Besar Hati: Siri 4
Peringatan Bagi Yang Lupa Penyakit Hati Bahaya Tidak Disedari
70 DOSA BESAR HATI
PENYAKIT HATI
BAHAYA TIDAK DISEDARI
MUQADDIMAH
(Sambungan)
Firman Allah:
قَدۡ أَفۡلَحَ مَن زَكَّٮٰهَا وَقَدۡ خَابَ مَن دَسَّٮٰهَا
“Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu dan merugilah orang yang mengotorinya.”
[Asy-Syams (91) : Ayat 9-10]
· Apakah Hikmahnya Allah Ta'ala mengisyaratkan "Hati" manusia kepada "kebaikan atau kejahatan?”
· Apakah Rahsia Allah Ta'ala mengisyaratkan "keberuntungan" kepada "Hati insan yang suci" sementara "kerugian" kepada "Hatinya yang kotor?"
· Mengapakah diunggulkan "Hati" dan bukan anggota lain seperti "Aqal?"
Hubungan Qalb (Hati) dan Ruh (roh) telah pun disentuh sepintas lalu (m.s 1-10, Siri 2).
Sebagai mengingatkan semula, Qalb (Hati) adalah jisim halus yang terhubung kepada Ruh. Qalb (Hati) boleh jadi suci dan boleh menjadi kotor berdasarkan unsur yang menguasainya.
· Qalb (Hati) adalah tempat tersimpannya Rahsia Insan dan Rahsia Ketuhanan.
· Qalb (Hati) adalah tempat terbitnya cahaya TAUHID atau kegelapan SYIRIK.
· Qalb (Hati) adalah tempat pertarungan IMAN (yang dibantu oleh Malaikat) dengan nafsu kejahatan (yang disokong oleh iblis).
· Qalb (Hati) adalah tempat terbitnya segala cita, gerak, keinginan, kemahuan manusia.
· Qalb (Hati) adalah tempat perhitungan kebahagiaan atau kecelakaan.
Rasulullah ﷺ bersabda:
"Sesungguhnya dalam tubuh jasad anak Adam itu ada seketul daging apabila baik ia, nescaya baiklah seluruh anggota tubuhnya dan apabila jahat ia, nescaya jahatlah seluruh anggota tubuhnya. Ketahuilah! Iaitulah Qalb (Hati).”
[Imam Bukhari]
Dari sudut kajian Sains, apabila Qalb (jantung fizikal) berfungsi dengan baik, bersih dari pencemaran, maka sekalian anggota tubuh termasuk aqal, paru-paru, buah pinggang dan darah daging semuanya berfungsi dengan baik. Apabila terjadi suatu kerosakan pada jantung, seperti tersumbat dengan kolesterol atau proses mengepamnya tidak normal atau lainnya, maka akan terjadi berbagai komplikasi terjadi kepada tubuh yang akhirnya mengakibatkan berbagai penyakit kronik. Ini suatu ibarat yang dapat difahami.
Adapun Qalb (Hati) yang dimaksudkan oleh Rasulullahﷺ adalah hakikat Qalb (Hati) yang bersifat ruhaniyyah iaitu Jisim halus yang menguasai insan. Apabila Qalb (Hati) itu baik di dalam erti kata suci bersih, maka sekalian anggota tubuh lain akan menjadi baik, beriman dan melakukan keta'atan. Sebaliknya apabila Qalb (Hati) itu jahat dalam erti kata kotor, maka sekalian anggota tubuhnya akan menjadi jahat, melakukan kefasikan dan kekufuran.
Oleh kerana Hati menjadi sumber segala kebaikan atau kecelakaan, maka sumber ini perlu disucikan dahulu. Medan ini perlu ditawan dahulu. Sekalian sifat Nifaq (kemunafikan), Mazmumah (kekejian) dan Syirik Khafi (syirik tersembunyi) mesti dicabut dari akar umbinya.
Bagaikan sebuah ladang yang dipenuhi oleh lalang dan anasir-anasir perosak, maka pertama sekali yang perlu dilakukan oleh seseorang peladang adalah mencabut lalang dan anasir perosak dari akar umbinya. Setelah ladangnya bersih dari kesemua perosak barulah peladang dapat membajak dan menanam benih yang terpilih untuk bercucuk tanam dan meraih hasilnya yang lumayan.
Demikianlah ibaratnya hati insan yang telah bersih dari kesemua kekotoran, kekejian dan kesyirikan, kemudian bercahaya hati itu dengan Cahaya Ketuhanan, barulah “benih TAUHID yang suci” terpancar dari HATINYA. Kemudian terbit lagi Ibadah dan amal-amal kebaikan yang benar-benar ikhlas. Oleh kerana inilah Rasulullahﷺ Di-Utus oleh Allah Ta'ala untuk menyucikan batin manusia.
Firman Allah:
هُوَ ٱلَّذِى بَعَثَ فِى ٱلۡأُمِّيِّـۧنَ رَسُولاً۬ مِّنۡہُمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡہِمۡ ءَايَـٰتِهِۦ وَيُزَكِّيہِمۡ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَإِن كَانُواْ مِن قَبۡلُ لَفِى ضَلَـٰلٍ۬ مُّبِينٍ۬
“Dialah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, menyucikan mereka dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan Hikmah (Ilmu rahsia dan pengetahuan mendalam). Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata.”
[Al-Jumu’ah (62) : Ayat 2]
Baginda ﷺ BUKAN sekadar da'wah, bahkan lebih dari itu, Baginda ﷺ Di-Perintah mendidik, mengasuh dan menyucikan batin (Hati) mereka sehingga benar-benar suci bersih. Perkara pertama yang Baginda ﷺ lakukan sebaik sahaja para Sahabat Ridhwanullah Alaihi Ajmain masuk Islam adalah mendidik dan mengasuh jiwa mereka dengan kaedah tertentu yang sangat khusus.
Hati mereka dirawat dengan berbagai ramuan, ubat dan penawar sehingga akhirnya menjadi benar-benar suci bersih dari semua macam kesyirikan, kemunafikan dan kekejian. Manhaj dan kaedah penyucian jiwa inilah yang kemudian dinamakan Toriqat Rasulullah ﷺ atau Jalan Ma'rifat (akan datang penjelasan lanjut, In Shaa Allah).
Namun pada akhir zaman ini, kebanyakan orang Islam termasuk sebahagian yang bergelar Ulama, Ustaz, Muallim, Kiyai juga TIDAK memahami dan TIDAK lagi amalkan Jalan Suci Rasulullah ﷺ ini. Akibatnya tinggallah mereka di dalam kekotoran jiwa yang membawa kepada kesyirikan — Syirik Khafi, Mazmumah dan Ghaflah dan ma'siat batin yang berpanjangan. Wal Iyazubillah.



