بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

Selamat datang ke laman rasmi Pertubuhan Jamaah Tazkirah Jilani, sebuah wadah penyebaran Ilmu, tazkirah, tarbiah dan bimbingan keruhanian
berdasarkan pendirian Ahlus Sunnah Wal Jama'ah, iaitu: Berpegang teguh kepada Al-Qur'an, Hadith Rasulullah ﷺ, Ijma' Qias Ulama Mu'tabar serta
berpegang teguh kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (benar)

Cahaya 58

Kembali kepada Fitrah

CAHAYA

8/7/20262 min read

HURAIAN KEPADA SYARAT MURSYID PEWARIS NABI YANG SIDDIQ (BENAR)

Syarat ke-3 : Mahir Selok-belok Ma’rifat
(Sudah sampai Maqam Mukasyafah dan Di-dalam pimpinan Ruhaniyyah Rasulullah ﷺ)

Seorang Mursyid Pewaris Nabi yang sebenar mahir (sangat tinggi ilmunya) di dalam Ilmu Ma'rifat serta mampu mendidik jiwa manusia kepada ketuhanan sehingga tercapai Tauhid yang Suci Murni dan Ubudiyyah yang tulus ikhlas.

Beliau mestilah seseorang yang telah terdidik dengan Ilmu Keruhanian di bawah bimbingan Gurunya yang juga Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq sehingga beliau mendapat curahan berbagai Hikmah Ilahiyyah serta kebijaksanaan.

Beliau telah sampai Maqam Musyahadah Zat (penyaksian kepada ketuhanan) serta sentiasa di dalam bimbingan Rasulullah ﷺ. (Hal ini disahkan oleh Guru yang memimpinnya, BUKAN andaian sendiri atau angan-angan sendiri.)

Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq mestilah seorang yang sangat mahir di dalam hal ehwal keruhanian, di-Kurniakan Khitob (seruan Sirr Allah), Kasyaf (terbuka kepada Ketuhanan) dan Ilham-ilham suci oleh Allah Ta'ala untuk memimpin keruhanian murid-muridnya serta menangkis semua macam gangguan jinn dan syaitan yang cuba menggodanya sehingga Salikin (murid) selamat sampai kepada Allah, iaitu sampai kepada Maqam-maqam Tauhid yang suci murni.

Orang Alim kitab atau orang kelulusan Universiti yang memiliki berbagai ijazah PhD, Ijazah, Profesor, Ahli Usuluddin, Mufti, Pegawai-pegawai Agama atau cendikiawan agama yang lain-lain (yang tidak menempuh Sistem pendidikan Ma'rifat) TIDAK akan mampu melakukan semua ini kerana mereka tiada pengetahuan tentang rahsia-rahsia Ma'rifat ini!

Sedangkan yang benar adalah; Sekalian orang alim ini (alim fiqh semata) mereka sendiri memerlukan asuhan seorang Mursyid, untuk keluar dari kesyirikan (syirik khafi) dan memperoleh Maqam-maqam Tauhid yang suci murni.

Maka perhatikanlah dari dalam hati yang ikhlas, tujuan Mursyid Pewaris Nabi yang sebenar adalah mendidik hati dan ruh kamu berdasarkan Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ sehingga kamu benar-benar memperoleh hati yang suci murni dari Bahrul Ahadiyyah (Lautan Keesaan) Allah Ta'ala.

Tauhid yang suci murni akan terpancar dari hati kamu tanpa sebarang syirik (syirik khafi) atau mazmumah (kekejian) apa pun. Dan jadilah kamu hamba Allah yang memperoleh Tauhid yang Suci murni dan ubudiyyah (ibadah yang penuh ketundukan kepada Allah) yang benar-benar ikhlas.

Sifat ke-3 ini antara sifat terpenting, iaitu Musyahadah Zat (Penyaksian Wajah Tuhan dari pandangan ruh dan Sirr) dan Pimpinan Rasulullah ﷺ kerana tanpa sifat-sifat istimewa ini, tiada bezanya dengan ustaz-ustaz biasa atau orang alim fiqh atau alim kitab yang tidak mengenal Allah.

Berkata Sulton Auliya Imam Jilani Radhiallahu anhu:
"Seseorang tidak dapat dikatakan Ahli Sufi (Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq) sehingga dia sampai ke maqam di mana dia di-Anugerahi pandangan kepada Rasulullah ﷺ di dalam mimpinya dan diberi arahan dan tegahan. Jika keadaan ini terjadi maka hatinya akan dinaikkan ke maqam lebih tinggi serta Di-Sucikan batinnya. Beliau seterusnya akan memperoleh kehampiran dengan Allah Ta'ala sementara tangannya di dalam pimpinan tangan Rasulullah ﷺ
[Fath-Ar-Rabbaniy Wa Faidh Ar-Rahmaniy]

=============================
Jama’ah Tazkirah Jilani
No. Pendaftaran : PPM-007-10-15112022
==============================

TEMA: DUNIA MA’RIFAT
JUDUL: CAHAYA MU’MIN
#NurMuhammad
#AhlusSunnahYangTulen.
#SyariatToriqatRasulullah
#MursyidPewarisNabiYangSiddiq
#DuniaMakrifat