بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

Selamat datang ke laman rasmi Pertubuhan Jamaah Tazkirah Jilani, sebuah wadah penyebaran Ilmu, tazkirah, tarbiah dan bimbingan keruhanian
berdasarkan pendirian Ahlus Sunnah Wal Jama'ah, iaitu: Berpegang teguh kepada Al-Qur'an, Hadith Rasulullah ﷺ, Ijma' Qias Ulama Mu'tabar serta
berpegang teguh kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (benar)

Cahaya 62

Kembali kepada Fitrah

CAHAYA

8/3/20262 min read

LAMPIRAN:
CAHAYA 62: HURAIAN KEPADA SYARAT MURSYID PEWARIS NABI YANG SIDDIQ (BENAR)
Syarat ke-7 : Tidak Mencintai Dunia

Kurang dunianya, iaitu tidak mencintai dunia atau mengejar dunia. Hidup beliau penuh di dalam kesederhanaan. Beliau bukan seorang yang mengejar pangkat, kemewahan atau kedudukan. Sebaliknya hidup beliau menjauhkan segala urusan yang menghambatnya kepada keduniaan. Pandangan dan perjuangan beliau adalah seperti perjuangan Rasulullah ﷺ, bersifat sederhana dan memadai dengan pemberian Allah dan tiada berhenti menyeru manusia kepada Kalimah Tauhid! Demikianlah mereka mencontohi kehidupan Rasulullah ﷺ dalam kepimpinan mereka dan seluruh kehidupan dan di dalam pendidikan mereka.

Seseorang yang mengaku Murshid tetapi mengumpul-ngumpul kekayaan atau hidup mewah di atas harta yang ditagih dari murid-muridnya, tidak boleh dikatakan Murshid yang haq, sebaliknya dia adalah hamba dunia dan nafsu!

Imam Asy-Sya'rani Radhiallahu anhu berkata:
“Di antara tanda benarnya seorang Mursyid adalah; Tidak menyalah-gunakan amanah para muridnya, tidak menggunakan harta benda mereka dalam bentuk dan kesempatan apa pun dan juga tidak menginginkan apa yang ada pada mereka.
[Lawaqihul Anwaar al-Qudsiyah].

Penjagaan:
(1) Lain halnya, jika seorang Mursyid itu memperoleh kemudahan-kemudahan berupa kebendaaan atau lain-lain dari sumbangan ikhlas muridnya atau dari orang-orang lain, maka ini tidak menjadi kesalahan. Ertinya kemungkinan Allah Ta’ala melimpahkan kekayaan harta kepada setengah-setengah Mursyid. Walau bagaimanapun seseorang Mursyid yang Siddiq TIDAK sama sekali terpengaruh dengan kekayaan yang Allah melimpahkan padanya. Beliau akan tetap dan terus ubudiyyah dan khidmat kepada Ummat, tanpa henti. Bagi mereka ada atau tiadanya dunia sama sahaja. Jika Allah Ta’ala Kurniakan kepada mereka harta yang banyak, mereka melihat Allah lalu sedekahkannya kepada faqir miskin. Jika tiada harta mereka tetap melihat Allah dan Redha dengan Ketentuan-Nya.

(2) Setengah Auliya Allah yang menduduki Maqam yang sangat tinggi, mungkin kelihatan pada zahirnya hidup mewah dengan kediaman yang besar dan pakaian yang hebat-hebat. Namun semua bentuk kemewahan yang terlihat tidak sedikit pun menyebakan kelalaian hati mereka, sebaliknya mereka sentiasa di Hadratul Quddus menyaksikan Wajah Zat Yang Maha Agung. Kediaman besar mereka lazimnya digunakan untuk Majlis-majlis Ilmu atau Majlis Zikir mereka, bukan untuk kepentingan mereka. Wang ringgit mereka sekaliannya disedekahkan kepada faqir miskin. Hati mereka tidak sedikit pun terikat dengan harta duniawi. Oleh yang demikian, murid pada Jalan Ma’rifat hendaklah sentiasa sangka baik kepada Masyaikh kita ketika dihadapkan hal-hal demikian.

Contoh Tauladan:
Kisah Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu 'Anhu benar-benar mencontohi Rasulullah ﷺ dalam Taqwa, Zuhud dan Wara'. Harta yang banyak Kurniaan Allah tidak sedikit pun melalaikan beliau. Kediaman beliau yang kelihatan pada zahirnya besar dan luas, adalah tempat berkumpulnya puluhan ribu Ummat Islam setiap hari untuk mendengar wasiat dan nasihat beliau.
[Nukilan Kisah Sulton Auliya didalam Kitab Qala'id Al-Jawahir}

________________________________________
Panji-Panji Ahlus Sunnah akan terus berkibar
di tangan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq
sampai Qiamat!

===============================
Jama’ah Tazkirah Jilani
No. Pendaftaran : PPM-007-10-15112022
===============================

TEMA: DUNIA MA’RIFAT
JUDUL: CAHAYA MU’MIN
#NurMuhammad
#AhlusSunnahYangTulen.
#SyariatToriqatRasulullah
#MursyidPewarisNabiYangSiddiq
#DuniaMakrifat