بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

Selamat datang ke laman rasmi Pertubuhan Jamaah Tazkirah Jilani, sebuah wadah penyebaran Ilmu, tazkirah, tarbiah dan bimbingan keruhanian
berdasarkan pendirian Ahlus Sunnah Wal Jama'ah, iaitu: Berpegang teguh kepada Al-Qur'an, Hadith Rasulullah ﷺ, Ijma' Qias Ulama Mu'tabar serta
berpegang teguh kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (benar)

Risalah 2: Ahlus Sunnah

Risalah Ahlus Sunnah Wal Jama'ah

AHLUS SUNNAH

8/8/20262 min read

PENJELASAN SIRI 2: RAHSIA AGUNG AHLUS-SUNNAH

Firman Allah:

قُلْ هَذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللَّهِ عَلَى بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ

“Katakanlah: ‘Inilah jalanku, yang aku dan orang-orang yang mengikuti daku menyeru (manusia) kepada Allah dengan basirah (penyaksian mata-hati yang jelas). Maha Suci Allah! Dan bukanlah aku dari golongan musyrikin.”
[Surah Yusuf (12) : Ayat 108]

Tafsiran Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:
"Dalam ayat ini yang dimaksud dengan "orang yang mengikuti daku" adalah manusia sempurna, Guru Keruhanian yang sebenar (iaitu Mursyid Pewaris Nabi yang muhaqqiq) yang akan datang selepas Junjungan Besar Muhamamd ﷺ, yang akan mewarisi ilmu batin Baginda dan kebijaksanaan Baginda dan yang akan berada hampir dengan Allah.
Manusia yang demikian digambarkan sebagai ۥ وَلِيًّا مُّرۡشِدً۬ (Wali Mursyid - pelindung dan pembimbing sebenar)
[Surah al-Kahfi (18) : Ayat 17 ] "
[Tamat nukilan kitab : Sirrul Asrar]

Penjelasan tambahan:

1. Sesungguhnya detik permulaan Kepimpinan “Ahlus Sunnah Wal Jama’ah” adalah daripada Khulafa Ar-Rasyidin dan BUKAN pada kurun ke-3 Hijriyyah sebagaimana sangkaan sebahagian orang.

2. Ketika sebahagian orang Islam mula keluar dari Saf Ummat Islam dan membentuk firqah-firqah sendiri, firqah yang menyalahi Al-Qur’an dan Sunnah, para Sahabat khususnya Khulafa Ar-Rasyidin tetap berpegang teguh dengan Al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah ﷺ.

3. Sebagaimana kami tegaskan: Satu-satunya golongan yang tetap berpegang kepada Al-Qur’an dan Sunnah Baginda dan tidak pernah berpisah dari Jalan Utama Wahyu hanyalah satu golongan, iaitu Ahlus Sunnah Wal Jama’ah yang dipelopori oleh para Sahabat Ridhwanullah yang memperoleh Petunjuk Allah, khususnya Khulafa Ar-Rasyidin, Sayyidina Abu Bakar, Sayyidina Umar, Sayyidina Uthman dan Sayyidina Ali Ridhwanullah Alayhi Ajma’in.

4. Merekalah Penunjuk Jalan Lurus dan Jalan Kebenaran. Merekalah Generasi Mursyid Pewaris Nabi yang pertama bagi Ummat ini. Generasi Pewaris Nabi seterusnya dikenali sebagai Mursyid, Imam, Shaikh, Ahli Sufi, Ahli Ma'rifat yang Siddiq.

5. Khulafa Ar-Rasyidin diberi gelaran “Ar-Rasyidin” kerana merekalah yang menunjukki jalan lurus, jalan sebenar Kembali kepada Allah.

6. Daripada merekalah mengalir ilmu Agama yang suci murni, zahir dan batin, turun - temurun daripada satu Generasi Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq kepada Mursyid Pewaris Nabi berikutnya hingga saat ini dan akan berterusan sampai Qiamat. Di dalam sebutan lain, Pewaris Nabi yang dinamakan “Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq” itulah pelopor Ahlus Sunnah dan peneraju Ahlus-Sunnah sepanjang zaman sampai Qiamat.

7. Allah Ta’ala memilih mereka sebagai Wakil Allah dan Rasul-Nya bagi memimpin Ummat kepada Jalan Lurus, Jalan kebenaran dan kesucian sepanjang zaman sampai Qiamat.

PERHATIAN PENTING:

1. Ilmu yang kami sampaikan adalah Ilmu Ahlus Sunnah berdasarkan Khazanah Warisan Suci Rasulullah ﷺ

2. Jika ini pertama kali kamu mendengar huraian ini, ikut dahulu dengar sabar sehingga Allah Kurniakan faham.

3. Untuk kepastian rujuklah kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (benar) yang sudah mencapai sekurang-kurang Maqam Tauhid Zat.

4. JANGAN sesekali merujuk ustaz atau alim biasa yang belum menempuh Jalan Ma'rifat Ilahiyyah.

5. JANGAN merujuk kepada ahli nujum, bomoh, dukun, ahli petapa, atau orang yang suka menunjuk-nunjuk "kekeramatan"

========================
Jamaah Tazkirah Jilani
No. Pendaftaran: PPM-007-10-15112022
========================

TEMA: DUNIA MA’RIFAT
JUDUL: AHLUS-SUNNAH YANG TULEN (BENAR)

#NurMuhammad
#AhlusSunnahYangBenar
#DuniaMakrifat
#SyariatToriqatRasulullah

#MursyidPewarisNabiYangSiddiq