بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

Selamat datang ke laman rasmi Pertubuhan Jamaah Tazkirah Jilani, sebuah wadah penyebaran Ilmu, tazkirah, tarbiah dan bimbingan keruhanian
berdasarkan pendirian Ahlus Sunnah Wal Jama'ah, iaitu: Berpegang teguh kepada Al-Qur'an, Hadith Rasulullah ﷺ, Ijma' Qias Ulama Mu'tabar serta
berpegang teguh kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (benar)

Siri 2: Syari'at & Toriqat Rasulullah ﷺ

Kewajipan Amal Syari'at & Toriqat Rasulullah ﷺ

SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ

8/7/20262 min read

■■■■■■■■■■■■■■■■■
KEWAJIPAN AMAL
SYARI'AT DAN TORIQAT
RASULULLAH ﷺ

(Siri 2)
■■■■■■■■■■■■■■■■■

بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Muqaddimah
sambungan



Imam Malik Radhiallahu Anhu berkata:
(Mujtahid Mutlaq Mazhab Maliki)
“Sesiapa yang mempelajari ilmu fiqh tanpa mengamalkan Tasawwuf, maka dia telah menjadi fasiq. Dan sesiapa yang mengamalkan Tasawwuf tanpa mempelajari ilmu fiqh, maka dia telah menjadi zindiq. Dan sesiapa yang menggabungkan antara kedua-duanya, maka itulah kebenaran."
[Nukilan Imam Ghazali di dalam Ihya, Al-Qutb Tajul Arifin Shaikh Yahya Al-Kholidi di dalam Risalah Ma’rifat, Imam Zarruq di dalam Qawaid Tasawwuf, Imam Qusyairi di dalam Risalah Qusyairiyah, Imam Asy-Sya'rani di dalam Tabaqat]

Inilah pegangan Ahlus Sunnah yang benar. Mereka berpegang teguh dengan Syari’at dan Toriqat Nabi ﷺ tanpa berpisah-pisah sebagaimana warid (datang) dari Rasulullah ﷺ melalui para Sahabat, Tabiin, Tabiit-Tabiin, Imam-Imam, Masyaikh turun-temurun dari satu generasi kepada generasi berikutnya sampai ke saat ini dan akan berterusan menjadi pegangan Ahlus Sunnah sehingga tiba saatnya.

Persoalannya, mengapakah kebanyakan orang Islam tidak memahami hakikat ini? Mengapakah kebanyakan orang Islam hanya amalkan ilmu Syari’at (fiqh) sahaja sedangkan Toriqat (tasawwuf) diabaikan? Bahkan sebahagian orang Islam menganggap Toriqat sebagai suatu yang asing dan rekaan Ulama. Sebahagian lagi terang-terang menuduhnya sebagai bid’ah sesat. Wal Iyazubillah.

Secara umum, di kalangan orang Islam sendiri, wujud dua Golongan Ghuluww, yang menyalahi ketentuan Ulama Ahlus Sunnah dari hal memahami dan mengamalkan Syari’at dan Toriqat Rasulullah ﷺ.

Pertama:
Golongan ghuluw (melampau ketentuan Agama yang benar) yang terang-terang ingkar, menafikan dan memerangi Ilmu Tasawwuf, Toriqat, Ma'rifat, Ahli Sufi, Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq, Ahli Sufi dan lain-lain yang berkaitan.

Golongan ghuluww ini menganggap semua ini bid'ah sesat, dan suatu yang asing dalam Agama. Ada juga terlalu melampau sampai menuduhnya sebagai ajaran Hindu, Majusi dan sebagainya. Wal Iyazubillah! Mereka ini adalah Golongan Wahabiyah (Khawarij zaman ini), Golongan Syi'ah (Rafidhi), Golongan sekular, Liberal dan lain-lain dari 72 golongan sesat yang lain yang masih aktif sehingga zaman ini.


Kedua:
Golongan ghuluww (melampau ketentuan Agama yang benar) dari kalangan orang Islam yang mengakui kebenaran Toriqat dan Tasawwuf dan mengetahui cabang ilmu ini secara teori, tetapi mereka menyeleweng dari maksud sebenar Toriqat dan segala suatu yang berkaitan dengannya.

Sebahagian mereka menyalahgunakan ilmu yang mereka pelajari untuk kepentingan dunia seperti untuk mencapai kekuatan di dalam bersilat, menyedut duit (mencuri), ingin menjadi bomoh, dukun, pawang, nujum dan sebagainya.

Sebahagian lain mengingkari Ilmu Syari’at dengan dakwaan batil yang mereka cipta menurut bisikan Syaitan. Pada pendapat golongan ini, Syari’at tak perlu diamalkan kerana menganggap mereka sudah mencapai maqam yang tinggi sehingga tak perlu lagi Syari’at? Ini adalah fahaman orang zindiq. Wal Iyazubillah.

Sebahagian lagi menjadi sesat akibat dari tiada Guru memimpinnya. Mereka membaca sendiri kitab-kitab Tasawwuf dan beramal sendiri sehigga ditarik oleh Syaitan kepada Gerbangnya. Atau mereka meninggalkan Guru Mursyidnya untuk jalan sendiri atas sangkaan sudah mencapai maqam Ketuhanan. Atau mereka terkena istidraj akibat berubah niat, hilang ikhlas, menyalahi adab-adab besar atau tiada Syukur kepada Ni’mat Allah.

Bersambung siri 3 اِ نْ شَآ ءَ اللّه
____________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI