بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

Selamat datang ke laman rasmi Pertubuhan Jamaah Tazkirah Jilani, sebuah wadah penyebaran Ilmu, tazkirah, tarbiah dan bimbingan keruhanian
berdasarkan pendirian Ahlus Sunnah Wal Jama'ah, iaitu: Berpegang teguh kepada Al-Qur'an, Hadith Rasulullah ﷺ, Ijma' Qias Ulama Mu'tabar serta
berpegang teguh kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (benar)

Siri 4: Pembahagian Tingkatan Orang Beriman Atau Tauhid

Blog post description.

PEMBAHAGIAN TINGKATAN ORANG BERIMAN ATAU TAUHID

8/17/20265 min read

Siri 4 :

بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

......sambungan Iman Salikin (yang memperoleh Ma'rifat)....

KEISTIMEWAAN / KELEBIHAN TINGKATAN IMAN ORANG YANG BERMA’RIFAT

□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□

Jika hendak dihuraikan satu persatu kelebihan hamba2 Allah yang dikurniakan Ma'rifat oleh Allah Ta'ala, sudah tentu memakan ruang waktu yang panjang. Memadailah kita katakan bahawa beriman kepada Allah melalui Ma’rifat inilah sebenar-benar IMAN/TAUHID. Inilah Iman /Tauhid yang tiada bercampur di dalamnya sebarang kesyirikan atau mazmumah (sifat-sifat kekejian). Hati mereka telah suci murni dari sekalian syirik, mazmumah, dosa2 dan sekalian sifat rendah kemanusiaan.

Sedangkan mereka yang belum memperoleh Ma’rifat sentiasa bergelumang di antara Iman dengan syirik (syirik khafi), mazmumah dan dosa2. Mereka tak dapat melepaskan diri daripada semua kekejian tersebut lantaran kekotoran ma’nawiyah yang bersarang di dalam hati. Walaupun seseorang itu sangat alim dan mengetahui banyak perkara melalui pembacaan, namun ini TIDAK akan membuatnya mengenal Allah, menyaksikan-Nya, beriman kepada Nya secara Ma’rifat.

Ini kerana pembacaan, hafalan, diskusi, perdebatan dan seumpamanya adalah terhenti pada aqal dan terhenti pada luaran hati. Sedangkan Iman yang sejati itu BUKAN buah fikir sebaliknya cahaya Ketuhanan yang mencengkam kukuh dalam hati.

Berapa banyak orang alim dan cerdik pandai agama, namun jiwa mereka kekosongan, hati dikuasai nafsu dunia, pangkat, hati lalai dalam solat, hati dipenuhi syirik2 khafi ujub, riya, takabbur dan tiada keikhlasan dalam ibadah. Semua ini kenyataan yang benar2 terjadi pada orang2 sebelum kita dan masih berlaku pada zaman ini dan tetap akan berlaku sampai Qiamat.

Contoh yang paling besar dalam sejarah Islam, yang menjadi teladan kepada seluruh ummat kemudian adalah kisah Imam Ghazali - contoh unggul kepada segenap lapisan ummat sepanjang zaman terutama kepada golongan ilmuan Islam dan cerdik pandai kelulusan pusat pengajian tinggi... !

[Insya Allah pada penghujung perbincangan, kita akan bentangkan sebahagian kisah beliau sebagai perbandingan dan i'tibar.]

Ringkasnya kelebihan2 Iman seseorang yang berma’rifat adalah :

(1) Memperoleh TAUHID sebenar sebagaimana dituntut oleh Allah Ta’ala.

(2) Hatinya suci dari syirik khafi, mazmumah dan dosa2.

(3) Hatinya mencapai IKHLAS yang murni pada setiap ibadahnya.

(4) Memperoleh khuysu' dalam solat.

(5) Memperoleh ketenteraman dan ketenangan hidup yang tak dapat diperoleh melalui cara lain.

(6) Memperoleh kasih dan keredhaan Allah.

MANHAJ (SUKATAN) TARBIYYAH JALAN MA’RIFAT

□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□

Kunci Utama yang membezakan Jalan Marifat Ilahiyyah dengan jalan2 lainnya adalah terletak pada ZIKRULLAH dan tapaknya HATI.

●Mengapakah Zikrullah?

●Mengapakah Hati?

●Apakah Rahsia Zikrullah?

●Apakah rahsia Hati?

●Mengapakah Zikrullah menjadi tunjang pembinaan IMAN / TAUHID/ MA’RIFAT?

●Bagaimanakah Zikrullah menghancurkan nafsu2 kejahatan dan syirik khafi?

●Bagaimanakah Zikrullah berperanan mendatangkan cahaya Iman / Tauhid/Ma’rifat?

●Bagaimanakah Zikrullah mendatangkan khusyu' dan tawadhu dalam Ibadah?

●Bagaimanakah Zikrullah menjadi asbab seseorang hamba sampai ke puncak kemuliaan dan keredhaan Allah?

Semua ini kita sudah huraikan pada Tajuk KEWAJIPAN AMALKAN ZIKRULLAH, sila rujuk.

Silibus pendidikan Jalan Ma’rifat ini sekaliannya bersumberkan Al-Qur’an dan Sunnah Rasul. Tiada satu pun daripadanya bersifat nafsu atau kehendak Ulama. Ulama Ahlus Sunnah, yakni Shaikh Sufi hanya berijtihad mengeluarkan berbagai hukum dan peraturan dari Kitabullah dan Sunnah Rasul yang diperlukan oleh salikin.

Antaranya amalan yang menjadi manhaj Jalan Ma'rifat ini adalah :

(1) Berterusan Taubat

(2) Zikrullah fardiyyah (zikir sendirian)

(3) Zikrullah berjamaah dipanggil Tawajjuh

(4) Latihan Mujahadah Melawan Nafs (umum)

(5) Lazimkan Tilawah Al-Qur’an

(6) Banyakkan Solawat atas Nabi

(7) Perbanyakkan khidmat kepada Guru, jamaah Guru dan ummat Islam seluruhnya.

(8) Perbanyakkan sedekah fi sabilllah

(9) Berda’wah mengikut kemampuan

(10) Suluk @ khilwah @ uzlah

Inilah amal2 utama yang semuanya digali dari Kitabullah dan Sunnah Rasul.

Kemuncak latihan bagi salikin adalah Suluk @ Khilwah @ Uzlah, iaitu mengasingkan diri dari masyarakat dan tinggalkan urusan dunia untuk beberapa waktu untuk memusatkan seluruh ingatan jiwaraga kepada Allah Ta’ala. Amalan ini adalah mencontohi perbuatan Rasul berkhilwah @ beruzlah ke Gua Hira’ sebelum Baginda diangkat menjadi Rasul.

Dengan demikian fahamilah yang sebenarnya jalan Ma’rifat adalah sebenar2 jalan yang diredhai Allah yang benar2 berdiri di atas Al-Qur’an dan Sunnah. Sebagaimana kata Imam Ghazali :

"Aku yaqin dengan benar bahwa para Sufi adalah para pencari jalan Allah, dan bahwa mereka melakukan yang terbaik, dan jalan mereka adalah jalan terbaik, dan akhlak mereka paling suci. Mereka membersihkan hati mereka dari selain Allah dan mereka menjadikan mereka sebagai jalan bagi sungai untuk mengalirnya kehadiran Ilahi"

[Munqidh Ala-ad-dhalal].

MAQAM-MAQAM IMAN / TAUHID SALIKIN

□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□

Salikin yang mencapai Ma’rifat (Iman / Tauhid) bukanlah satu maqam sekaliannya, tetapi pencapaian mereka bertingkat2 daripada yang terendah, kemudian meningkat sedikit demi sedikit bergantung kepada kesugguhannya serta Rahmat Allah bersertanya.

Maqam-maqam Tauhid @ Iman @ Ma’rifat yang diperoleh oleh ahli salikin seperti yang dihuraikan di atas adalah empat Maqam, iaitu :

(1) Tauhid Af'al

(2) Tauhid Asma

(3) Tauhid Sifat

(4) Tauhid Zat

Perlu difahami, sebagaimana penegesan kita sebelum ini bahawa, pencapaian tingkatan ini TIDAK sama dengan pencapaian yang dibahas pada sifat 20 di dalam kitab usuluddin. Ini kerana perbincangan pada kitab2 tersebut adalah kefahaman awal kepada Tauhid, iaitu faham secara aqal.

Penjelasan Ringkas Maqam Tauhid Af’al, Asma’, Sifat dan Tauhid Zat

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Salikin akan dipimpin oleh seorang Mursyid (yang benar) melalui beberapa latihan-latihan keruhanian khusus, bermula dari pembersihan diri dari dosa2 sehinggalah kepada pencapaian Tauhid yang murni.

KUNCI UTAMA didikan Ahli Ma’rifat adalah ZIKRULLAH (yang dilakukan menurut kaifiyyat dan syarat2 tertentu). Salikin mengerjakan Zikrullah dan mujahadah melawan nafsu terus-menerus sehingga hilang lenyap segala "keakuan diri", musnah segala sifat kekejian, binasa syirik2 khafi!

Ketika itu.... iaitu ketika hati telah suci bersih dari segala " penyakit ma'nawiyyah".... suci dari syirik2 khafi, mazmumah dan dosa2, maka bersinarlah HATI itu dengan cahaya Iman yang gemilang.

Ketika ini dikatakan salik ini sudah mempunyai ainul basirah iaitu pandangan “matahati”.

Gemilang hati ini diteguhkan lagi dengan datangnya warid iaitu cahaya Ketuhanan yang memancar ke dalam hatinya sehingga cahaya tersebut melimpah memenuhi ke seluruh lapisan langit dan bumi.

Maka melihatlah hamba ini akan Tuhannya melalui pancaran cahaya tersebut tanpa asbab dan tanpa perantara apa pun. Secara umumnya pandangan seperti ini bermaksud, semata2 "memandang Allah" dari dalam HATI.

Pandangan seperti ini BUKAN fikir aqal. BUKAN khayalan. BUKAN percaya sebab dalil.. Semua itu telah fana' (binasa) Yang ada ketika itu hanyalah cahaya Rabbaniyyah yang terbuka kepada Ketuhanan. Ia semata2 pemandangan dan penghayatan HATI dan RUH.

Permulaan " melihat Allah" dari dalam hati adalah melihat A'fal Allah (Perbuatan Allah), … Iaitu melihat segala gerak dan diam pada makhluk pada hakikatnya perbuatan Allah. Sekali lagi sebagai suatu penegasan : Penyaksian ini adalah dengan penghayatan hati dan ruh.. BUKAN fikir aqal.

Orang yang dianugerahkan oleh Allah memperoleh Maqam Tauhid Af’al ini adalah Maqam permulaaan TAUHID yang murni (yang tiada syirik atau mazmumah lagi). Dan ini juga permulaan Ikhlas yang murni, tiada memandang lagi pada diri sendiri, melainkan dipandangnya dari matahati semua Ni’mat itu ; sama ada yang berupa harta atau keluasan melakukan IBADAH adalah semuanya dari anugerah Allah semata2 ; tiada daya upaya sedikitpun.

Hati orang ini sudah mencapai ‘ketenangan peringkat pertama” pada Ma'rifat iaitu ketetapan HATI pada IMAN dan ketenangan aqal, emosi dan nafsunya. Ini suatu kedamaian yang tidak dapat diumpamakan dengan sesuatu, ianya semata2 pemerasaan darah daging serta penghayatan ruh. Maka di situlah akan terlihat benarnya Firman Allah :

أَلَا بِذِڪۡرِ ٱللَّهِ تَطۡمَٮِٕنُّ ٱلۡقُلُوبُ

“Ketahuilah hanya dengan zikrullah hati menjadi tetap tenang tenteram”

[Ar-Ra’d (13) ; ayat 28]

Hamba Allah yang dianugerahi maqam Tauhid suci ini telah memperoleh pandangan suci.

Ketika dia mengangkat takbiratul ihram untuk solat, dilihatnya Anugerah dan Ni'mat Allah.

Ketika dia berzakat, bersedekah, berjihad ... tiada dilihat nya keupayaan diri tetapi dipandangnya semua itu anugerah Allah padanya.

Sekalian ibadahnya tenang dan ikhlas.

Tiada lagi syirik khafi, mazumah, kekejian!

Semua sifat2 kerendahan dan kehinaan sudah musnah, diganti dengan sifat2 Kemuliaan.

Hanya yang tinggal sebuah hati, aqal dan ruh yang disirami cahaya Ketuhanan yang Maha Suci.

Perhatikan lah : Inilah permulaan TAUHID yang murni, permulaan IMAN sejati, permulaan IKHLAS suci...!

Jika seseorang hamba Allah mujahadah terus dengan sungguh2 dan penuh keikhlasan, maka di sana akan terbuka lagi pintu2 Rahsia Tauhid yang lebih tinggi.

Dengan Limpah Kurnia Allah, si salik akan melihat Asma' Allah , Sifat Allah dan akhir sekali Zat Allah yan Laisa Kamithlihi Syai'un (tiada umpama sesuatu sepertinya)

Pada setiap “pemandangan hati” itu adalah terbitnya Tauhid2 yang lebih tinghi iaitu Tauhid Asma', Tauhid Sifat dan Tauhid Zat.

Semua ini semata2 penyaksian mata hati dan ruh.

bersambung siri ke-5... insya Allah .

✳✳✳✳✳✳✳✳✳✳✳✳✳

Pesanan

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

✳✳✳✳✳✳✳✳✳✳✳✳✳